Sunday, December 18, 2016

Isu memakai minyak wangi

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam,
keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

PADA dasarnya lelaki memakai minyak wangi adalah sunat, tidak demikian halnya terhadap perempuan, bahkan adakalanya memakai minyak wangi itu haram. Persoalan inilah yang hendak kita huraikan.

Hukum memakai minyak wangi

Hukum asal memakai wangian termasuklah minyak wangi adalah sunat (digalakkan). Ini berdasarkan beberapa hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya yang diriwayatkan dari ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku memberi (memakaikan) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebaik-baik wangian yang (Baginda) ada sehingga aku melihat wangian itu cerah/jernih (berkilau/berkilat) di kepala dan janggut Baginda.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)



Hadits di atas menunjukkan bahawa memakai wangian adalah sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Adapun yang dimaksudkan dengan memakai wangian ialah mengenakan wangian seperti minyak wangi pada badan atau pakaian mengikut cara kebiasaannya sama ada dilakukan dengan sendiri ataupun dilakukan oleh orang lain dengan keizinannya.

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang umatnya dari menolak pemberian yang berupa wangian. Sabda Baginda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang ditawarkan wangian, maka janganlah dia menolaknya, kerana sesungguhnya ia adalah beban yang ringan (ringan dibawa) dan enak baunya.”

(Hadits riwayat Muslim)

Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati memakai minyak wangi kerana terdapat banyak minyak wangi yang mengandungi alkohol dijual di pasaran.

Memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol

Haram memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol yang diambil daripada arak sama ada di luar sembahyang, apatah lagi di dalam sembahyang, kerana arak itu adalah najis.

Ibnu Hajar Rahimahullah Ta‘ala berkata bahawa haram hukumnya berlumur dengan najis di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tidak ada sebarang keperluan (syar‘i).

Sebaliknya harus memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol sintetik dari campuran bahan kimia kerana ia bukan najis. Bagaimanapun, haram jika wangian itu diminum kerana sifatnya yang memudharatkan seperti juga racun.

Selain hukum haram memakai minyak wangi yang mengandungi bahan najis, hukum memakai minyak wangi atau wangian lain juga berbeza mengikut keadaan dan ketentuan yang digariskan syara'. Antaranya sebagaimana berikut:

1. Memakai wangian bagi lelaki dan perempuan

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Wangian lelaki adalah apa yang nyata baunya dan tersembunyi warnanya, (manakala) wangian perempuan itu pula adalah yang nyata warnanya dan tersembunyi baunya.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Menurut hadits di atas, ‘ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan memakai wangian yang tersembunyi baunya itu adalah bagi perempuan yang hendak keluar rumah. Sekiranya mereka tidak berhajat untuk keluar rumah, maka harus bagi mereka memakai wangian yang mereka mahu walaupun wangian itu yang nyata baunya.

Adapun wangian yang nyata baunya dan tersembunyi warnanya itu adalah seperti air mawar, misk (kesturi) dan ambar.

Sementara wangian yang nyata warnanya dan tersembunyi baunya pula adalah seperti za‘faran, khaluq dan inai.

2. Memakai wangian ketika sembahyang

Memakai minyak wangi atau minyak rambut yang mengandungi wangian ketika menunaikan sembahyang tidaklah dilarang tetapi hendaklah dipastikan bahawa ianya suci daripada najis, kerana antara syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian mahupun tempat sembahyang.

Tidak sah sembahyang seseorang jika salah satu daripada yang tersebut di atas terkena najis seperti minyak wangi yang bercampur dengan alkohol yang dihasilkan daripada arak. Ini kerana arak di sisi syara‘ adalah najis.

Walau bagaimanapun, sah sembahyang seseorang jika dia memakai minyak wangi yang suci dan bebas daripada bahan-bahan najis.

3. Memakai wangian sebelum menunaikan sembahyang Jum‘at

Sunat bagi lelaki memakai wangian ketika hendak menunaikan sembahyang Jum‘at. Diriwayatkan dari Salman al-Farisi Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tidaklah mandi seorang lelaki itu pada hari Jum‘at, membersihkan diri semampunya, meminyakkan rambut dari minyaknya, memakai wangian (yang ada di) rumahnya, lalu dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), kemudian dia mendirikan sembahyang yang ditentukan ke atasnya dan sesudah itu duduk diam tatkala imam memberi khutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jum‘at tersebut sehinggalah Jum‘at yang akan datang.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)
Yang dimaksudkan dengan sembahyang yang ditentukan itu ialah sembahyang sunat rawatib qabliyyah Jum‘at, atau sembahyang-sembahyang sunat yang lain sekurang-kurangnya dua raka‘at sembahyang tahiyyatul masjid jika imam belum memulakan khutbah, ataupun juga sembahyang qadha’.

Adapun bagi khuntsa dan perempuan, makruh ke atas mereka memakai minyak wangi apabila keluar rumah untuk menunaikan sembahyang Jum‘at.

Akan tetapi sunat bagi mereka sekadar menghilangkan bau yang tidak enak seperti bau keringat. Ini kerana menghilangkan bau yang tidak enak sama ada dengan air atau selainnya juga merupakan perkara yang disunatkan apabila hendak menunaikan sembahyang Jum‘at.

No comments:

Post a Comment



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Cara Membancuh Minyak Wangi / Perfume

Peralatan 1. Botol perfume - Botol perfume tersedia dalam berbagai jenis, model dan ukuran, mulai botol 3ml untuk sample, botol rol...